Pengumuman & Berita
 
  Pengumuman & Berita > Pengumuman Terkini > Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, koperasi terbaik negeri Sarawak
 

Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, koperasi terbaik negeri Sarawak

Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad telah ditubuhkan pada 6 September 1949 dengan keanggotaan sebanyak 124 orang. Dengan nama THE SARAWAK  GOVERNMENT EMPLOYEES CO-OPERATIVE THRIFT AND LOAN SOCIETY LIMITED, koperasi ini telah dipengerusikan oleh H.M Cockles  sehingga tahun 1950. Sinonim dengan tahun penubuhannya, koperasi ini telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran 16/49.

Nama The Sarawak Government Employees Co-operative Thrift And Loan Society Limited atau nama singkatannya SGECOP telah digunakan sehingga tahun 1978 iaitu selama kira-kira 29 tahun. Pada tahun 1979, nama koperasi telah ditukar buat pertama kalinya dalam Bahasa Melayu iaitu KOPERASI PEKERJA-PEKERJA KERAJAAN SARAWAK BERHAD.

Pada tahun 1988, nama koperasi ini telah ditukar kepada KOPERASI PEKERJA KERAJAAN SARAWAK BERHAD sebelum disingkat kepada KOPERASI KOPERKASA BERHAD pada tahun 2002 dan digunakan sehingga tahun 2008.
Di bawah peruntukan Akta Koperasi 1993, nama Koperasi ini telah ditukar sekali lagi pada tahun 2009 kepada nama KOPERASI KOPERKASA SARAWAK BERHAD atau singkatannya KOPERKASA di mana nama tersebut digunakan sehingga kini.

Berdasarkan tahun penubuhannya, KOPERKASA kini telah berusia lebih daripada 62 tahun dan masih kukuh berdiri. Sebagai sebuah koperasi yang tertua di negeri Sarawak, KOPERKASA telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang penubuhannya.

Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang dihadapi, KOPERKASA telah mampu untuk bersaing dan berkembang sehingga berjaya menubuhkan beberapa pejabat cawangan di serata negeri Sarawak. Pada tahun 1983, cawangan pertama KOPERKASA telah dibuka di Bandar Sibu. Diikuti pula dengan Miri pada tahun 1985, Sri Aman (1986), Bintulu (1987), Sarikei (1998) dan Limbang (1999).

Sepanjang penubuhan, KOPERKASA telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah dari pelbagai pihak iaitu Sijil Anugerah Kualiti Koperasi Diatas Usaha Mewujudkan Budaya Kualiti Dalam Koperasi Tahun 1992  (Menteri Tanah & Pembangunan Koperasi Malaysia), Sijil Anugerah  Kualiti Koperasi  Kategori Projek Yang Berdaya Maju Dilaksanakan Tahun 1993 (Piala Negeri Sarawak), Sijil Anugerah Kualiti Koperasi Anugerah Ketua Menteri Tahun 1994 (Jabatan Pembangunan Koperasi), Sijil Anugerah Kualiti Koperasi Kategori Perkhidmatan Yang Diberikan Kepada Anggota Tahun 1994 (Jabatan Pembangunan Koperasi), Anugerah Pelanggan BPA Terbaik Tahun 1999 Sempena Hari Koperasi Antarabangsa Ke-77 (ANGKASA) dan Anugerah Pelanggan BPA Terbaik 2010 (ANGKASA)
Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad telah diiktiraf sebagai koperasi ke-40 terbaik seluruh Malaysia berdasarkan Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2011 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan juga merupakan koperasi terbaik di Sarawak bagi 3 tahun berturut-turut mulai dari tahun 2009.

Pengiktirafan tersebut telah dimaklumkan juga oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Rohani Binti Haji Abdul Karim iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan semasa lawatan kerja beliau pada 21 Oktober 2011 ke ibu pejabat KOPERKASA, Kuching. Kedatangan beliau telah disambut oleh Haji Alif Bin Bacha Madarshah selaku Pengerusi Koperkasa serta Sajali @ Ismail Bin Ojek (Setiausaha), Ambrose Anak Dango (Bendahari) dan Anggota Lembaga yang lain iaitu Zolkipli Bin Muhamad Nusi dan Mohamad Mortadza Bin Matrang.

Melihat pencapaian yang begitu baik oleh KOPERKASA, ianya telah menarik perhatian Datuk Hajah Rohani untuk melihat dengan lebih dekat dan seterusnya mengadakan lawatan kerja ke KOPERKASA tersebut. Beliau yang juga anak jati Sarawak dan telah menganggotai KOPERKASA selama lebih 30 tahun telah melahirkan rasa bangga dan kagum dengan pencapaian KOPERKASA sehingga kini.

Kedatangan Datuk Hajah Rohani turut diiringi oleh Reza-Rizvy Bin Ahmad Rony Assim selaku Setiausaha Sulit serta Norazlan Abdullah, Pengarah Penyelidikan Maktab Kerjasama Malaysia dan Muhamad Rasydi Bin Abdul Rashid, Pensyarah Kanan Maktab Kerjasama Malaysia. Rombongan lawatan telah diberi taklimat mengenai KOPERKASA oleh Sajali @ Ismail Bin Ojek selaku Setiausaha KOPERKASA.

Mengikut nama asalnya, anggota KOPERKASA adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan Negeri Sarawak. Selari dengan perubahan semasa, keanggotaan kini terbuka kepada kakitangan kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, jabatan kerajaan / pihak berkuasa  / badan berkanun yang telah diswastakan kemudian dan pihak swasta / badan korporat yang majikannya menjamin serta memperakui pemotongan gaji yang berterusan. Baru-baru ini keanggotaan KOPERKASA telah dibuka kepada kakitangan kerajaan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Sehingga kini keanggotaan KOPERKASA telah berkembang sehingga mencapai 24,000 orang anggota.

Fungsi utama KOPERKASA adalah memberi pembiayaan manakala objektif utama penubuhan adalah untuk menyediakan fasiliti kewangan kepada anggota untuk mengatasi masalah kewangan, meningkatkan taraf pembangunan sosioekonomi dan yang paling utama untuk menggalakkan amalan menyimpan.

Berdasarkan Statistik Tahunan Gerakan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada tahun 2010, KOPERKASA memiliki aset berjumlah kira-kira RM151 juta iaitu lebih kurang 50% daripada jumlah keseluruhan aset semua koperasi-koperasi yang ada di seluruh negeri Sarawak. Sebahagian daripada jumlah tersebut adalah dalam bentuk rumah kedai atau bangunan berjumlah 24 unit milik koperkasa yang terdapat di seluruh Sarawak.

Pembiayaan yang ditawarkan adalah berkonsepkan Bai-Al Inah yang berasaskan Islam. KOPERKASA menawarkan pelbagai jenis pembiayaan di mana pembiyaan yang paling utama adalah Pembiayaan Peribadi. Bagi Pembiayaan Peribadi, jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah 2.99%. Selain Pembiayaan Peribadi, KOPERKASA juga menawarkan Pembiayaan 100%, Pembiayaan Kenderaan, Pembiayaan Pembelian Alat & Barangan, Pembiayaan Kebajikan dan Pembiayaan Pendidikan.

Selain Pembiayaan, KOPERKASA juga menawarkan pelbagai Sumbangan kebajikan dan kemasyarakatan khas kepada anggotanya seperti sumbangan khairat kematian, sumbangan bantuan malapetaka, subsidi kos perubatan / alat sokongan perubatan atau rawatan di hospital, hadiah anggota bersara wajib daripada perkhidmatan, hadiah 20 tahun keanggotaan dan hadiah galakan pendidikan anak anggota serta anggota sendiri. Sumbangan dan insentif yang disediakan adalah khas bagi menghargai anggota-anggota KOPERKASA dan selaras dengan matlamat koperasi iaitu untuk membantu antara satu sama lain.

Dalam memberi pembiayaan dan sumbangan kebajikan kepada anggotanya, KOPERKASA juga telah menjalankan aktiviti dan perniagaan yang lain seperti Ar-Rahnu, jualan barangan serta projek pembangunan hartanah.
Dengan nama Perkasa Ar-Rahnu, kedai pajak gadai emas berasaskan Islam telah dimulakan pada 6 Jun 2011 dan diurus sepenuhnya oleh KOPERKASA. Perkasa Ar-Rahnu menawarkan pinjaman sehingga 65% daripada nilai marhun (nilai emas) atau maksimum RM50,000. Pinjaman ini ditawarkan kepada anggota dan juga kepada orang ramai dengan kadar upah simpan hanya RM0.60 untuk anggota manakala RM0.65 bagi bukan anggota. Dalam hanya beberapa bulan, Perkasa Ar-Rahnu telah berjaya mencatatkan nilai simpanan emas sehingga suku juta ringgit.

KOPERKASA juga telah menubuhkan unit Koperkasa Shoppee yang merupakan kedai serbaneka yang menggunakan konsep pelbagai bahagian menjual pelbagai barangan yang berlainan seperti perabot, peralatan elektrik, peralatan ICT, telefon bimbit, motosikal, aksesori kereta, rim sport serta bahan binaan. Untuk unit ini, KOPERKASA telah melantik vendor di seluruh Sarawak untuk membekalkan barangan kepada anggota. Koperkasa Shoppee menawarkan jualan tunai kepada orang ramai dan melalui Pembiayaan Pembelian Alat & Barangan khas kepada anggota KOPERKASA. Koperkasa Shoppee telah dirasmikan Yang Berhormat Dato’ Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan pada 11 April 2011 dan telah memulakan operasi sejak dari hari tersebut.

KOPERKASA telah mencatatkan keuntungan tahun 2010 sebanyak  RM6.61 juta berbanding RM5.99 juta dalam tahun 2009. Berdasarkan jumlah tersebut, keuntungan KOPERKASA bagi tahun 2010 telah menunjukkan kenaikan sebanyak 9% dari tahun 2009. Keuntungan tersebut adalah hasil daripada aktiviti serta perniagaan yang dijalankan dan setiap tahun keuntungan akan diagih-agihkan kepada anggota melalui bonus dan dividen tahunan.

Bagi bonus dan dividen tahunan, KOPERKASA telah mengumumkan peratusan bonus dan dividen yang agak memberangsangkan bagi tahun 2010 iaitu sebanyak 4.75% untuk Modal Yuran Bulanan, 7% untuk Modal Syer dan 2% untuk Simpanan Peribadi. Secara keseluruhannya, bonus dan dividen tahunan KOPERKASA bagi tahun 2010 adalah sebanyak 13.75% berbanding hanya 10% keseluruhan bagi tahun 2009. Ini menunjukkan kenaikan ketara sebanyak 27% bagi tahun 2010 berbanding tahun 2009. Haji Alif Shah telah menyatakan bahawa KOPERKASA menyasarkan untuk memberi dividen ke atas Modal Syer sebanyak maksimum 10% dan sedang berusaha ke arah itu.

Dalam pembangunan hartanah pula, KOPERKASA sedang melaksanakan pembangunan pada tanah milik KOPERKASA di Jalan Matang, Petra Jaya, Kuching di mana satu perjanjian telah dimeterai antara pihak pemaju dan KOPERKASA. Dalam projek ini, KOPERKASA akan menerima sebanyak 20 unit rumah kedai dan wang tunai sebanyak RM2 juta. Dengan tambahan 20 unit rumah kedai ini, ianya akan menjadikan keseluruhan rumah kedai atau bangunan milik KOPERKASA berjumlah 44 unit dan akan menaikkan nilai aset KOPERKASA.

Selain itu, dengan lebih persaingan dalam pasaran kredit pada masa ini, Koperkasa telah mula merancang untuk mempelbagaikan aktiviti dan perniagaan untuk meningkatkan lagi keuntungan pada masa hadapan seperti perhotelan dan pelancongan, stesen petrol, pertanian, pengangkutan dan perdagangan.

Datuk Hajah Rohani telah menyatakan bahawa menurut statistik, Koperkasa telah menyumbang lebih kurang 80% kepada pulangan seluruh koperasi negeri Sarawak dan ianya merupakan satu jumlah sumbangan yang amat besar. Beliau juga telah memaklumkan bahawa dengan sumbangan sebesar ini, KOPERKASA mesti terus kukuh dan tidak boleh gagal. Sebagai anggota KOPERKASA mahupun sebagai Timbalan Menteri Kementerian yang bertanggungjawab, beliau menyatakan akan sentiasa menyokong KOPERKASA.

Datuk Hajah Rohani juga telah memberikan ilham dan cadangan kepada KOPERKASA seperti dari segi keanggotaan; untuk untuk membahagikan anggota mengikut kategori yang berdasarkan jumlah caruman atau sumbangan dan faedah yang diberikan. Dalam pada masa yang sama, KOPERKASA juga harus meningkatkan dana pusingan seperti  Modal Yuran Bulanan dan Modal Syer.

Norazlan Hasbullah, Pengarah Penyelidikan Maktab Kerjasama Malaysia juga telah menyokong penyataan Datuk Hajah Rohani dan menyatakan bahawa adalah penting bagi sesebuah koperasi untuk meningkatkan modal yuran serta syer sebagai modal pusingan koperasi yang juga akan mengurangkan kebergantungan koperasi kepada dana luar.

Selain itu, Datuk Hajah Rohani juga telah mencadangkan supaya Koperkasa mengambil peranan dalam projek kedai 1Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan sama ada membuka kedai 1Malaysia atau sebagai pusat mengedar barangan 1Malaysia di mana ianya akan menambah kepada pendapatan KOPERKASA sendiri.

Semasa lawatan kerja tersebut juga, Haji Alif Shah telah menyampaikan cenderamata serta Sijil Saham sebagai penghargaan kepada keanggotaan melebihi 20 tahun kepada Datuk Hajah Rohani. Pengerusi KOPERKASA juga melahirkan rasa bangga serta terharu atas kesetiaan Datuk Hajah Rohani menjadi anggota KOPERKASA selama lebih 30 tahun.

Dengan petadbiran dan pengurusan yang baik, KOPERKASA akan terus maju dan sentiasa kukuh di masa hadapan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anggotanya.

Sila klik di sini untuk gambar semasa lawatan kerja Datuk Hajah Rohani Binti Haji Abdul Karim ke Koperkasa pada 21 Oktober 2011.